Pemburuan
Friday, 26 April 2013TAKRIF BURUAN
* Buruan adalah disebut bagi jenis binatang yang sifat asalnya liar dan lari daripada manusia, sama ada ia boleh dimakan ataupun tidak.
* Ia tidak boleh ditangkap kecuali dengan menggunakan tipu daya.
* Berburu bermaksud mendapatkan binatang yang halal dimakan, yang liar secara tabi’I tanpa dimilik oleh sesiapa dan belum dikuasai.
HUKUM BURUAN
* Harus untuk sesiapa yang mahu asalkan bukan di tanah Haram Makkah dan Madinah dan bukan pula oleh orang yang sedang berihram haji atau umrah. Jika binatang yang diburu itu harus dimakan maka ia halal dimakan.
* Pemburuan menjadi haram sekiranya ia menyebabkan kezaliman terhadap orang lain seperti dengan menceroboh dan merosakkan tanaman ataupun harta mereka, kerana hukum cara memperolehinya juga merupakan hukum untuk matlamatnya.
* Para ulama’ Maliki membahagikan hukum perburuan ini kepada lima :
1. Harus bagi tujuan hidup
2. Sunat jika bermaksud memberikan kelegaan kepada anak-anak di bawah tanggungan
3. Wajib bagi tujuan memelihara nyawa sewaktu darurat
4. Makruh sekiranya hanya untuk tujuan bersuka-suka
5. Haram sekiranya dilakukan dengan sia-sia tanpa tujuan kerana adanya larangan daripada menyeksa binatang tanpa sebarang faedah.
Senario pemburuan.
1. Kehilangan Bintang Buruan :
* Jika seorang pemburu memanah seekor binatang buruan, lalu binaang tersebut hilang daripada pandangan matanya, kemudian didapati binatang itu mati dan tidak ada padanya kesan lain selain kesan panahnya .Maka, haram makan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Adiy bin hatim yang bermaksud “ ya Rasulullah, saya seorang pemburu, jika salah seorang diantara kami memanah seekor binatang buruan, lalu ia hilang dari pandangan selama duA dan tiga malam , kemudian dia menemuinya telah mati? Lalu baginda Rasulullah SAW menjawab “ jika kamu mendapati pada dirinya kesan panah kamu disamping tidak ada kesan binatang buas dan kamu pasti bahawa panah kamu yang membunuhnya, maka makanlah”.
* Jika pemburu pasti bahawa panahnya yang membunuh binatang buruan selepas 2 atau 3 hari maka boleh dimakan haiwan tersebut selagi mana tidak busuk. Biasanya binatang tersebut belum lagi busuk kerana menurut tabiatnya ia akan diganggap kotor dan jijik terhadap binatang yang sudah busuk, lebih-lebih lagi jika ia memudaratkan. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah berkata kepada Abu Tsa’labah Al-Khasyani “ kalau kamu melemparkan panahmu kemudian bintang tersebut hilang sampai 3 hari dan kamu dapati sudah mati, maka makanlah selama binatang tersebut belum busuk.riwayat tarmizi.
* Kesimpulannya binatang buruan yang hilang selepas ia dipanah dan meragui sebab kematiannya, maka ia tidak harus dimakan.
2. Buruan Yang Terjatuh Ke Dalam Air Atau Terjatuh Daripada Tempat Yang Tinggi Ke Atas Tanah
* Apabila pemburu memanah seekor binatang buruan lalu terjatuh ke dalam air atau tergelincir daripada suatu tempat yang tinggi seperti bukit atau bumbung sebuah rumah keatas tanah atau ia dipijak oleh seekor binatang lain lalu mati maka ia tidak harus dimakan mengikut ijmak ulama’, tapi sekiranya ia terus terjatuh ketanah maka ia harus diamakan kerana keadaan seperti ini tidak mungkin dapat dielakkan berlainan dengan keadaan sebelumnya kerana ia dapat dielakkan, maka jika berhimpun perkara halal dan haram, maka yang lebih diutamakan adalah haram sebagai langkah berhati-hati kerana terdapat hadith yang diriwayatkan oleh ‘Adiy bahawa Rasulullah pernah bersabda ”jika ia terjatuh kedalam air, maka janganlah kamu memakannya”. Keadaan ini selama mana panah tidak menikam bahagian-bahagiannya yang merbahaya sebelum ia terjatuh, tetapi jika berlaku demikian, maka tidak memberi apa-apa kesan samaada ia tenggelam ke dalam air atau terjatuh daripada tempat yang tinggi.
CARA –CARA YANG DISYARIATKAN DALAM BERBURU
1. Senjata
Senjata ini disyaratkan tajam yang mampu menembusi kulit dan binatang yang diburu itu mati kerana ketajaman alat tersebut seperti lembing, panah, pedang, peluru dan apa sahaja yang seumpamanya . Apabila pemburu memburu binatang buruan dengan pedang atau selainnya, dan haiwan tersebut terbelah dua ataupun terputus kepalanya, maka ia harus dimakan kesemuanya termasuklah kepalanya, namun tidak harus makan bahagian yang terpisah jika ia masih hayat mustaqqirah kerana bahagian yang terputus daripada binatang yang masih hidup hukumnya seperti bangkainya. Manakala harus makan bahagian yang terpisah jika tidak ada lagi hayat mustaqqirah padanya dan ia mati dengan luka tersebut menurut pendapat Jumhur Ulama’.
2. Binatang
Harus memburu dengan binatang buas yang mempunyai taring dan juga burung yang menangkap mangsanya dengan menyambar dengan syarat binatang tersebut adalah terlatih.
SYARAT-SYARAT BINATANG YANG MEMBURU
1. Binatang yang dilatih
2. Hendaklah binatang itu pergi menangkap binatang buruannya yang telah ditentukan.
3. Binatang buruan tidak dikongsi dengan binatang lain yang tidak terlatih.
4. Hendaklah binatang itu membunuh buruan dengan cara melukakannya.
5. Hendaklah binatang itu tidak memakan buruannya.
SYARAT SYARAT BINATANG YANG DIBURU
1. Binatang buruan tersebut mestilah harus dimakan menurut hukum syara’.
2. Binatang tersebut adalah daripada jenis binatang yang liar iaitu manusia tidak mampu menangkapnya sejak asal kejadiannya lagi seperti binatang liar, burung.
3. Binatang tersebut mati dengan sebab luka bukan kerana pelanggaran dengan binatang pemburu, terperanjat atau ketakutan kepada bianatang pemburu.
4. Hendaklah tidak meragui samaada binatang buruan itu kepunyaanya atau orang lain dan tidak ragu binatang buruan tersebut dibinuh oleh alat perburuan arau tidak.
5. Hendaklah dia menyembelihnya jika dia dapat menangkapnya hidup-hidup dan mampu melakukan penyembelihan
0 comments:
Post a Comment